Wednesday, August 6, 2008

Permatang Pauh: Antara dahulu dan kini
Permatang Pauh yang terletak di Seberang Perai Tengah dengan jumlah pengundi 58,449 merupakan sebuah nama yang tidak asing lagi kepada semua pencinta politik sama ada dalam mahupun luar negara.

Semuanya ini terlakar bukan baru malahan ia bermula sejak kemasukan Dato' Seri Anwar Ibrahim ke kancah politik dan memenangi pilihanraya umum pada tahun 1982 setelah terpaut pada Umno ekoran tarikan Perdana Menteri ketika itu, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau yang diharapkan memperjuangkan Islam bersama PAS akhirnya mengorbankan perjuangan Angkatan Belia Islam (ABIM) untuk bersama Umno kononya 'hendak bersihkan Umno dari dalam' tetapi akhirnya usahanya agak terbantut kerana terpaksa berhadapan dengan gerakan di kalangan keahlian Umno yang telah lama makan garam darinya.

Masa itu beliau menewaskan calon PAS, Haji Zabidi Ali dengan majoriti besar walhal bekas Pesuruhjaya PAS Negeri itu adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Dua sebelum itu.

Tetapi, akibat terpengaruh dengan karismanya memimpin ABIM kebanyakan rakyat memberinya peluang menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh yang baru sehinggalah pada penghujung 1999 apabila dipecat daripada Umno dan kabinet serta di tahan atas tuduhan meliwat.

Semasa dalam Umno di bawah pentadbiran Dato' Seri Dr Mahathir yang kini bergelar Tun beliau memainkan peranan yang cukup kuat tambahan lagi tercernakan slogan 'Bersih Cekap dan Amanah' (BCA) yang berjaya menaut hati rakyat selari dengan berputiknya kebangkitan Islam semula.

Ia nyata menjadi saingan kepada PAS yang waktu itu baru beralih kepimpinan daripada Dato' Asri Muda yang dilhat liberal kepada Ustaz Yusuf Rawa yang mempolopori golongan ulama dalam PAS.

Walaupun berlaku sedikit perpecahan dalam PAS namun ia tidak sehebat mana kerana rata-rata waktu itu angin Islam semakin kencang untuk mewarnai senario politik negara.

Antara nama-nama yang pernah tewas kepada Dato' Seri Anwar dalam mempertahankan Permatang Pauh ialah Naib Presiden PAS kini, Haji Mohamad Sabu (1986), Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri ketika itu, Ustaz Muzani Abdullah (1990) dan Ketua Penerangan PAS Pusat waktu ini, Haji Mahfuz Omar (1995).

Perjuanganya dalam Umno makin memuncak sehinggalah ke tahap selangkah lagi ke jawatan tertinggi negara menggantikan Dr. Mahathir Mohamad.

Anwar juga berjasa pada Perdana Menteri ke empat itu apabila menjadi nadi terpenting menjatuhkan politik bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan Dato' Musa Hitam yang bergabung membentuk team B dalam Umno sehingga membawa perpecahan Umno pada tahun 1987.

Selepas berjaya meneroka dan menyelamatkan kedudukan politik Dr Mahathir lantas beliau terus diangkat menjadi orang nombor dua negara apabila mengalahkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno, Tun Ghafar Baba setelah memperkenalkan sistem mata pengundian memilih kepimpinan dalam Perhimpunan Umno pada awal 1990 an dulu.

Tetapi, langkahnya tersekat takkala penghujung 1990 an apabila Dr Mahathir dapat menghidu hasratnya mahu merampas kedudukan menjadi Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Akhirnya, politik beliau terhenti apabila dipenjarakan namun di luar tembuk penjara laungan reformasi terus bergema sehinggalah kini mahu kembali ke arena politik tanahair setelah niatnya terbatas kerana terpaksa akur dengan cara kepimpinan Perdana Menteri baru, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mempercepatkan tarikh pilihanraya umum ke 12 lalu supaya Dato' Seri Anwar tidak boleh sertainya, bimbang berlaku kocakan politik yang kuat.

Kini setelah tiga penggal Permatang Pauh dimenangi isterinya, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) pada tahun 1999 bersama Barisan Alternatif (BA) yang diasaskan bersama PAS dan DAP.

Waktu itu, tonggak utama BA ialah PAS yang diterajui oleh Presidennya, Allahyarham Dato' Fadhil Noor di mana buat pertama kalinya BA berjaya menjejaki parlimen secara beramai -ramai. Perkembangan tersebut membuatkan Dato' Fadhil Noor sendiri dinobatkan sebagai Ketua Pembangkang.

Sekarang ini saat yang dinantikan untuk menjejaki kaki ke Putrajaya kian terserlah apabila diberi mandat sebagai calun Parlimen P44 Permatang Pauh mengantikan isterinya yang meletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen di situ kerana memberi laluan kepada suami tercinta untuk memimpin negara.

Terdapat 28 Unit Peti Undi (UPU) seluruh parlimen ini di mana sembilan di N10 Dun Seberang Jaya, sembilan di N11 Permatang Pasir dan sepuluh di N12 Penanti. Dato' Seri Wan Azizah memperolehi 30,338 berbanding pencabar tradisinya, bekas Imam Besar Masjid Negara, Dato' Pirdaus Ismail yang bertanding atas tiket BN 16,950 undi.

Pada tahun 1999 majoritinya 590 tetapi pada pilhanraya umum ke 12 ianya bertambah 13,388. Keseluruhan pengundi di situ ialah 58,449 di mana pengundi yang keluar membuang undi 47,398. Peratus mengundi 81.09 peratus manakala undi rosak 110 sahaja.

Peratus Melayu di sini ialah 68.5 peratus, Cina 24.79 peratus, India 6.3 peratus manakala kaum lain 0.41 peratus. Dun N10 Seberang Jaya yang dimenangi Umno-BN menerusi calonya, Dato' Arif Shah Omar Shah mengalahkan calon KeADILan, Ramli Bulat dengan kelebihan 533 berbanding pada pilihanraya umum ke 11 lalu 4,464.

Dato' Arif Shah memperolehi 9,395 undi berbanding Ramli 8,862 di mana jumlah pemilih keseluruhanya ialah 22,678. Di sini pengundi Melayu berjumlah 62,36 peratus, Cina 23.97 peratus, India 13.13 peratus manakala kaum lain 0.54 peratus.

Antara UPUnya ialah Jalan Sembilang, Seberang Jaya Dua, Kampung Pertama, Kampung Belah Dua, Seberang Jaya Satu, Jalan Bahru, Simpang Empat, Jalan Tuna dan Taman Tun Husein Onn.

Di dun ini jumlah keluar mengundi ialah 18,479, peratus mengundi keluar 81.48 peratus manakala jumlah undi rosak ialah 222. N11 Dun Permatang Pasir pula PAS dapat mempertahankan kemenangan tiga penggal berturut turut apabila bekas Pesuruhjaya PAS Negeri, Hamdan Abdul Rahman memperolehi 11,004 mengalahkan calon BN, Ahmad Sahar Shuib yang mendapat undi 5,571.

Majoriti yang didapatinya begitu tinggi iaitu 5,571 undi berbanding dalam pilihanraya ke 11 lalu hanya 679 sahaja. Jumlah keseluruhan pengundi di Permatang Pasir ialah 20,350 di mana 72.31 peratusnya Melayu, 25.94 peratus Cina, India 1.61 peratus dan lain-lain kaum 0.14 peratus.

Pilihan raya ke-12 lalu pengundi yang keluar melaksanakan tangungjawab sebagai rakyat Malaysia berjumlah 16,802 iaitu 82.57 peratus manakala undi rosak 227 kertas undi. Antara UPU yang wujud Dun Permatang Pasir ialah Sama Gagah, Permatang Ara, Permatang Pauh, Bukit Indera Muda, Kampung Pelet, Kubang Semang, Tanah Liat Mukim 8, Kampung Cross Street Dua dan Permatang Tengah.

Sementara itu di N12 Dun Penanti pula KeADILan menunjuk taring apabila merampasnya kembali daripada BN menerusi calonya, Mohamad Fairus Khairudin yang memperolehi undi 7,346 berbanding penyandangnya Dato' Abdul Jalil Abdul Majid BN 5,127. Majoriti yang diperolehi ialah 2,219.

Sebelum ini, calon KeADILan, Haji Abdul Rahman Kadir berjaya mengalahkan calon BN dalam pilihanraya umum ke 10 manakala pada pilihan raya ke-11 KeADILan tewan kepada BN dengan majoriti 667 undi sahaja.

Jumlah keseluruhan pengundi di sini ialah 15,421. Jumlah pengundi yang keluar mengundi ialah 12,657 iaitu 82.08 peratus manakala undi rosak pula 184. Mengikut peratus kaum pula Melayu 72.51 peratus, Cina 24.32 peratus, India 2.43 peratus dan kaum lain 0.57 peratus.

Di Dun ini terdapat sepuluh UPU iaitu Guar Perahu, Kuala Mengkuang, Telok Wang, Mengkuang, Sungai Lembu, Penanti, Kubang Ulu, Sungai Semambu, Tanah Liat Mukim 9 dan Jalan Berapit.

Hari ini, rakyat Permatang Pauh akan memperolehi Ahli Parlimen yang baru maka jadilah pengundi yang bijak bukan terdorong dengan berita-berita kosong atau fitnah semata- mata mahu menyekat kemaraan Dato' Seri Anwar ke Putrajaya sekaligus memimpin negara tercinta untuk mengembalikan Malaysia di kaca mata dunia sebagai sebuah negara yang benar-benar merdeka.



No comments: